Sunday 26 May 2013


Bismilahirrahmanirahim
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum w.b.t wahai khalifah Allah


Dengarkan bicara ini baik-baik…selusurilah ia dengan satu renungan agar dirimu beroleh keberuntungan….

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
Surah Al-Baqarah : Ayat 214

Dari Dia kita datang, kepada Dia kita memohon pertolongan kala kesusahan datang menyapa. Kepada Dia kita merayu memohon kesenangan, kepada Dia kita kembali. Namun sudahkah kepada Dia kita bergantung harapan??

Mungkin kita terlalu lama dibuai kesibukan duniawi, hingga terlupa pada arahan patuhnya sang Pencipta...Kadang leka dibuai kerunsingan pada hal semasa, sehingga tanggungjawab yang wajib ini dibiarkan kontang dalam medannya sendiri..Maka, pada Dia kita merayu pada sebuah keampunan kerana lupa pada janji-janji kita dahulu...

Ujian datang, ujian pergi...Dugaan menyapa, dugaan meninggalkan kita...Andai hari ini, hati anak-anak ummi terluka dengan hinaan atau cacian atau mungkin juga tengkingan manusia, kembalilah pada tujuan asal mengapa kita dihidupkan...kembalilah pada Allah..hanya pada Dia tempat kita bergantung harapan dan mengadu.

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
Surah Al-Mulk : Ayat 2

Mungkin sebuah cacian itu melukakan, menyakitkan, membuat benci mula tumbuh dalam hati..Namun harus diingat, setiap yang datang adalah dari Allah..Andai hari ini kita mengeluh pada sebuah ujian atau 'makian', maka kita mengeluh hadiah dari Tuhan...Setiap ujian yang datang, membawa petanda Allah mengingati kita...Setiap kesedihan yang terselit dalam celah-celah kancah kehidupan, adalah peringatan dari Allah...Renungkanlah maksudku...

Haruslah diingat wahai hamba Ilahi..
Setiap apa yang terjadi, setiap takdir yang menyinari liku-liku kehidupan, sudah ditakdirkan 1400 tahun dahulu...apa yang terjadi hari ini, adalah kerana perbuatan semalam yang pernah kita lakukan..sudah-sudahlah menuding jari pada orang lain, sudah tiba masanya kita menilik dan menilai diri sendiri sebelum menghakimi khilaf seseorang..

Wahai hamba Allah yang dikasihi, mungkin setiap derap langkah kaki terasa berat setiap kali memikirkan penghinaan dan kemarahan yang dilontarkan pada kita... mungkin jua terngiang-ngian setiap hinaan yang mereka lemparkan...Terasa terlalu payah untuk bersua muka dengan mereka, untuk bertegur sapa, rasa bersalah, benci, sakit hati, mungkin melata dalam hati kita...

Namun percayalah pada janji Allah yang Maha Hidup, peganglah setiap kalamNya.. Peluk sekuat hati saat terasa dirimu dihumban dalam longkang yang paling dalam, paling seksa, paling perit...saat terasa dirimu hilang harganya di mata mereka, hilang nilainya pada mata kasar mereka, alunkan kata-kata Tuhan dalam hatimu..Percayalah hanya pada Dia...

Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.”
Surah Al-Imran : Ayat 146

Jika saat ini anak-anak ummi terasa betapa pedihnya sebuah penghinaan, pegang kata-kata ibumu ini..Jika dia yang menegur, pernah memberi kebaikan pada kita walau sebesar zarah, ampunilah dia. Maafkanlah dia kerana dia manusia biasa yang tak pernah lari dari sifat lemah...Terimalah dia kembali seadanya dia…

Namun, jika dia yang menghina adalah manusia yang tidak pernah menasihati, memberi semangat, perangsang, mencucuk akar iman ke dalam ladang hati, menginspirasi, maafkanlah juga dia..Mungkin sekali dia belum mengerti..Titipkan sepohon doa untuk dia, kerana dia dan kita adalah sama...Manusia biasa..Namun ingatlah sampai bila-bila perbuatannya, kerana apa? Kerana di masa hadapan, kita takkan jadi seperti dia...

Percayalah pada setiap molekul yang membina jisim rohmu, ummi percaya anak-anak ummi mampu menerima setiap dugaan yang didatangkan kerana sememangnya anak-anak ummi MAMPU..walau sepayah mana, walau sesukar mana, walau bumi yang besar terasa sesempit liang kubur, percayalah kita mampu menghadapinya... Percayalah pada setiap takdir yang datang dari Dia..

Senyumlah wahai penyeri dunia..Sebarkan senyumanmu.. agar senyuman itu mampu menyalakan sekeping hati yang sudah luput bara semangatnya..Ingat, walau sesedih mana..senyumlah dan kekal tersenyum.. jangan tunjukkan kesedihanmu pada yang tidak berhak mendapat layanan sebegitu, berilah mereka senyuman yang mampu mendamaikan...berkongsilah pada yang mampu menasihati dan memberi nyalaan cahaya dalam jiwamu..

Yakinlah, Allah sentiasa ada di setiap inci, ruang kehidupan kita...Terpulanglah pada kita untuk merasa kehadiranNya atau sekadar membiarkan Dia memerhati kita dengan murka...


JIKA KAMU BAIK HATI..
MUNGKIN ORANG MENUDUHMU BERPURA-PURA..
NAMUN KAMU TETAPLAH MENJADI BAIK SELALU....

JIKA KAMU JUJUR DAN IKHLAS..
MUNGKIN ORANG AKAN MENIPUMU..
NAMUN KAMU TETAPLAH JUJUR DAN TULUS SELALU..

JIKA KAMU TENANG DAN BAHAGIA..
RAMAI ORANG AKAN IRI HATI...
NAMUN KAMU TETAPLAH BERBAHAGIA..

KEBAIKAN YANG KAMU PERBUAT PADA HARI INI..
SERING AKAN DILUPAKAN ORANG..
NAMUN KAMU TETAPLAH BERBUAT BAIK SELALU..

BERILAH YANG TERBAIK DARI APA YANG KAMU MILIKI...
MUNGKIN ORANG TIDAK PERNAH MERASA CUKUP..
NAMUN TETAPLAH MEMBERIKAN YANG TERBAIK..
KERANA KAMU HAMBA ILAHI YANG DILAHIRKAN UNTUK MENJADI YANG TERBAIK




Ukhuwah fillah ila jannah…